(Saya hanya mengambil salah satu tajuk di bawah bab BERSENAM. Harap Maklum!)
MENGAPA TIDAK BERJALAN SAHAJA?
Satu perkara baik mengenai generasi 'Hippie' ialah banyak di antara mereka yang dianggap 'pemberontak sosial' memelihara kesihatan masing-masing. Beberapa di antara mereka sekarang dipanggil 'Yuppie'. Banyak di antara mereka sekarang berusia 30-an dan 40-an menjadi kaya, bersih dan rapi, dan berjaya. Mungkin kita boleh belajar daripada kebiasaan wanita Yuppie ini.
Apakah Pelajaran Yang Boleh Kita Ambil Daripada Yuppie?
Jikalau anda berjalan di bandar-bandar Amerika, anda akan bertemu dengan wanita-wanita Yuppie yang berpakaian kemas, memakai kasut jogging! Di mana kasut bertumit tinggi mereka? Disimpan di dalam laci atau almari di tempat kerja mereka.
Wanita-wanita ini bersenam sambil pulang kerja, dan memakai kasut yang selesa bagi kaki. Siapakah yang memulakan trend ini, dan bila -- siapa tahu? Tetapi marilah kita lihat dengan lebih dekat kebiasaan ini, dan jangan dihadkan kepada golongan wanita sahaja.
Kaum lelaki juga perlu bersenam!
Bagaimana Dengan Senaman Berlari?
Banyak kaum lelaki berlari dua atau tiga kali seminggu jika mereka sanggup berbuat demikian pada waktu pagi ataupun waktu petang. Tetapi apakah senaman berlari merupakan senaman yang paling baik?
Berlari mungkin baik untuk jantung dan badan keseluruhannya, tetapi beberapa organ dalaman, termasuk tulang lutut dan sendi pergelangan kaki, boleh menderita. Berlari dua tiga kali seminggu ataupun empat enam kali seminggu tidak membawa manfaat daripada segi senaman. Senaman berlari tidak digalakkan bagi kaum wanita, kerana jikalau lemak tubuh hilang, hormon tidak seimbang. Ini boleh menyebabkan gangguan pada haid, atau haid itu berhenti sama sekali. Jika hormon estrogen berkurangan, ini akan menyebabkan kalsium dari tulang berkurangan dan orang tersebut boleh mengalami osteoporosis.
Faedah Senaman Berjalan Cepat
Senaman berjalan boleh dilakukan di mana-mana dan bila-bila sahaja. Senaman ini tidak memerlukan alat-alat senaman khas, HANYA SEPASANG KASUT YANG SELESA. Itulah sebabnya mengapa wanita-wanita Yuppie tidak memakai kasut bertumit tinggi di luar pejabat tetapi meninggalkannya di pejabat, dan menggantikannya dengan kasut untuk berjalan ke pejabat dan dari pejabat. Senaman berjalan adalah baik untuk badan, termasuk sendi-sendi tulang, tetapi hendaklah berjalan dengan cepat.
Senaman Berjalan dengan Cepat Hendaklah Dirancangkan
Perhatikan beberapa cadangan yang berikut dan laksanakan cadangan-cadangan tersebut. (Jikalau anda berusia lebih daripada 40 tahun, atau berat anda lampau, mintalah nasihat doktor anda terlebih dahulu). Secara beransur-ansur tambahkan jarak perjalanan anda. Contohnya, sebagai permulaan, letakkan kereta anda atau turun dari bas sejauh tiga blok dari tempat kerja anda. Apabila tiba di tempat kerja, jangan gunakan lif, tetapi gunakan tangga.
Pada minggu yang pertama, naiki dua tingkatan anak tangga sahaja - sepanjang minggu. Menaiki anak tangga adalah sebaik berlari bagi jantung dan pembuluh darah anda. Ini dibuktikan kerana jantung anda berdenyut lebih cepat apabila anda sampai di atas anak tangga. Pada hujung hari lakukan sebaliknya. Jika anda pergi makan tengah hari carilah tempat makan yang jauhnya satu kilometer, dan pergilah ke tempat tersebut secepat mungkin serta kembali tepat dengan masa yang ditentukan untuk tujuan tersebut, (kecuali jika anda mempunyai setengah jam sahaja untuk berehat makan tengah hari).
Senaman menaiki tangga menjadi semakin popular di Amerika Syarikat. Percayakah anda bahawa ada dijual mesin berharga 2,000USD yang menstimulasikan senaman menaiki tangga! Dan orang berbaris menunggu giliran menggunakannya. Apabila badan kita diangkat menentang tarikan daya bumi (graviti), seperti menaiki tangga, sejenis elektrik khusus, iaitu "elektrik-pieza", dikeluarkan dalam tubuh kita yang menyebabkan kalsium mengalir ke dalam tulang yang bergerak itu, dan menguatkan tulang-tulang itu. Ini adalah cara yang baik untuk mencegah osteoporosis!
Minggu demi minggu, tambahkan jarak perjalanan anda, dan juga jumlah tingkatan anak tangga yang anda naiki - satu tingkatan anak tangga setiap minggu. Jikalau anda susah bernafas, jangan tambahkan jumlah tingkatan anak tangga yang anda naiki. Tetapi secara perlahan-;lahan tambahkan kecepatan anda menaikinya. Anda juga harus menghadkan jumlah tingkatan anak tangga yang anda naiki kepada jumlah yang sesuai bagi anda. Jika anda bekerja di tingkat atas bangunan bertingkat 15, janganlah menaiki kesemua tingkatan anak tangga bangunan itu!
Mungkin pada kemudian harinya, anda boleh memakai pakaian besenam semasa menuju ke tempat kerja, setelah itu menggantikannya dengan pakaian kerja. Perbuatan ini boleh anda lakukan setiap hari dan mencapai kepuasan. Senaman berjalan masih merupakan jenis senaman yang paling baik, dan ini bergantung pada tabiat anda! Mengikut penyelidikan akhir-akhir ini kurang senaman adalah salah satu penyebab utama serangan jantung.
Selamatkanlah jantung anda! Sertailah kumpulan Yuppie melakukan senaman berjalan setiap hari dan anda tentu akan menikmatinya.
Sumber ini dipetik daripada sebuah buku kesihatan yang bertajuk:-
"ALAM SEMULAJADI PENYEMBUH AJAIB"
m/s 102-104
No comments:
Post a Comment